Friday, 20 February 2015

TAHUN BARU CINA DI CHINA & MALAYSIA. APA BEZANYA ?



BEIJING — Hanya dua hari lagi menjelang Tahun Baru Cina dan lazimnya makanan adalah bahagian penting pesta keramaian tradisi ini dalam kalangan masyarakat Cina di seluruh dunia.

Bagi orang Cina di Malaysia, Yu Sang or Yee Sang, salad ikan mentah-cara Teochew yang berasal dari Selatan China adalah satu daripada makanan popular yang biasa dihidangkan pada Tahun Baru Cina.

Makanan ini yang terdiri daripada hirisan sayur-sayuran pelbagai warna serta ikan mentah biasanya dihidangkan sebagai pembuka selera sebelum makan tengah hari atau makan malam.

Ketika menggaul yee sang ini, masing-masing akan berkata dengan suara kuat apa yang mereka inginkan pada tahun baru agar semua dapat mendengar ucapan mereka dan tercapailah impian masing-masing.

Namun, makanan ini hanya dikenali di Malaysia dan Singapura.

HIDANGAN UTARA CHINA
Le Gao, berusia 26 tahun dari bandar Dalian, utara China tidak tahu langsung tentang Yee Sang apabila penulis bertanya mengenainya.

“Dengar macam menarik tapi baru kali ini saya dengar,” katanya kepada Bernama.

Menurut Le, di Dalian, makanan yang mesti ada untuk sambutan Tahun Baru Cina terutama sekali pada petangnya termasuk ‘dumpling’, ‘dumpling’ pulut, ‘lettuce’ kurma, kuih pulut dan ikan.

“Kami juga ada meletakkan duit syilling yang bersih,biasanya 50 sen emas dalam beberapa ‘dumpling’ (jiaozi dalam bahasa Cina),” katanya, sambil menambah duit syilling adalah tanda nasib baik untuk menikmati tahun yang baik juga.

Di samping dumpling, kata Le makanan yang dihidang pada petang Tahun Baru Cina semuanya membawa makna yang simbolik.

Contohnya, kuih pulut simbol menjadi lebih meningkat atau lebih kaya setiap tahun; ikan bermakna mempunyai lebih banyak wang, lettuce simbol harta yang bertambah sementara dumpling pulut memperoleh banyak wang setiap tahun.

Le memberitahu penulis, semua ahli keluarganya akan berkumpul di rumah untuk makan dumpling dari waktu makan tengah hari sehingga tengah malam sambil main kad dan bersama-sama menonton program televisyen.

TRADISI DI BAHAGIAN TENGAH CHINA
Di Malaysia, satu daripada pantang larang Tahun Baru Cina ialah menyapu rumah pada hari pertama. Ini kerana orang Cina bimbang akan menyapu untung baik.

Bagaimanapun, masyarakat Cina di wilayah Hubei, bahagian tengah China tidak mengamalkan pantang larang ini.

“Sudah tentu kami menyapu rumah pada hari pertana Tahun Baru Cina.

“Mestilah sapu, ramai yang akan datang ke rumah, lantai mudah kotor,” kata Yang Jing yang berusia 32 tahun.

Sehingga 50 orang saudara-mara Yang akan berkunjung ke rumahnya pada perayaan Tahun Baru Cina.

“Pada petang Tahun Baru Cina, biasanya kami makan ikan, ‘spring roll’ dan lotus. Sudah tentunya wain juga dihidangkan,” kata beliau sambil menambah sejak tahun-tahun kebelakangan ini, wain ala-Barat disajikan berbanding wain tradisi.

“Hari ini semuanya ala-Barat. Malahan tidak ada lagi makan besar di rumah. Sebaliknya kami makan di restoran pada petang Tahun Baru Cina sehingga hari ketiga atau keempat,” katanya.

Bagaimanapun, masyarakat di Hubei masih mengamalkan tradisi seperti membakar mercun, menghiasi rumah dengan tanglung merah, main mahjong dan berkunjung ke kuil.

BAGI ANG POW
Mendapat Ang Pow atau wang dalam sampul merah dianggap antara yang paling dinanti-nantikan pada perayaan Tahun Baru Cina.

Bagi kanak-kanak Cina, Ang Pow ini seolah-olah idaman mendapat hadiah Krismas.

Bagi masyarakat Cina di Malaysia, Ang Pow biasanya diberi oleh pasangan yang sudah berkahwin kepada rakan yang masih bujang dan ahli keluarga mereka.
Pemberian Ang Pow ini sebagai simbol mendapat rahmat sementara ibu bapa pula akan memberi Ang Pow kepada anak mereka yang belum berkahwin.

Bagaimanapun, lain pula halnya di Beijing, ibu negara China. Di sini, orang dewasa yang sudah bekerja, sama ada yang berkahwin atau bujang, perlu memberi Ang Pow kepada generasi muda dalam keluarga mereka yang belum ada pendapatan.

“Ibu bapa kami tidak akan memberi kami Ang Pow selepas kami mula bekerja. Sebaliknya kami akan memberi mereka Ang Pow sebagai tanda sayang dan untuk mendapat restu mereka,” kata Zhang Zhe.

Menurut Zhang, seperti masyarakat Cina di wilayah lain, masyarakat di Beijing akan menikmati makanan seperti dumpling, kuih pulut dan ikan ketika menyambut Tahun Baru Cina.

“Biasanya, masyarakat tempatan akan berkunjung ke kuil pada hari besar itu,” tambah Zhang.

Pesta kuil adalah satu daripada kegiatan tahunan yang popular di China semasa perayaan Tahun Baru Cina.

Banyak pesta diadakan di mana terdapat beratus-ratus gerai menjual pelbagai jenis kudapan, makanan, kraftangan serta barangan antik.– BERNAMA

SIRUL MULA BERSUARA





Selepas ke Australia, bekas polis elit Sirul Azhar Umar kini mempertimbangkan menjawab persoalan terbesar sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu – kenapa dia dan Azilah Hadri membunuh wanita itu?

Dalam perbualan telefon dengan Malaysiakini baru-baru ini, Sirul mendedahkan bahawa beberapa media Australia telah pun memohon sesi wawancara “terus terang” dengannya.

“Saya belum putuskan untuk diwawancara,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sedia mendedahkan segala-galanya jika wawancara itu menjadi kenyataan, bekas anggota polis itu menjawab:

“Ya, saya pertimbangkan kemungkinan ini dengan serius.”

Difahamkan bahawa beberapa stesen televisyen telah berhubung dengan Sirul (atas), yang sedang ditahan pihak imigresen negara itu di Sydney.

Rundingan antara Sirul dan stesen TV masih berjalan.

'Bertindak atas arahan'

Sementara itu, Sirul memberitahu bahawa dia tidak kenal mangsa pembunuhan atau Abdul Razak Baginda – penganalisis politik dan rakan dekat Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dalam kes itu.

“Saya bertindak atas arahan. Orang penting yang mempunyai motif masih bebas,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

“Ia bukan bermakna saya tidak sayangkan (pasukan) polis, tetapi saya bertindak atas arahan,” tegasnya.

Menjawab soalan, Sirul berkata keadaannya OK di pusat tahanan dan dia dibenarkan menggunakan telefon dan Internet.

“Saya biasanya baca Malaysiakini, Utusan (Malaysia) dan Harakah untuk ikuti perkembangan di kampung halaman,” katanya.

Daripada jauh, duda 43 tahun itu bagaimanapun bimbangkan dua anak remajanya di Malaysia yang berhenti sekolah, kesan daripada kesnya.

Kambing hitam

Bulan lepas, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila didapati bersalah dalam kes tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Terdapat beberapa persoalan di sebalik kes itu, termasuk berkaitan motif tindakan itu.

Najib, ketika masih timbalan perdana menteri, bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tiada kaitan dengan kes itu.

Bekas pembantunya, DSP Musa Safri, yang memberitahu Azilah untuk membantu Razak Baginda (kanan) pada malam pembunuhan itu, tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk “melindungi rancangan mereka”.

Sirul tidak hadir di Mahkamah Persekutuan ketika keputusan disampaikan kerana berada di Australia.

Undang-undang Austalia tidak membenarkan ekstradisi individu yang berdepan hukuman mati ke negara asal.

sumber; malaysiakini